Dunia Artis
Politik
Hiburan
Sensasi
| SEDEKAH PANJANG UMUR, MURAH REZEKI |
| Written by Mingguan Warta Perdana |
| Tuesday, 06 December 2011 11:20 |
|
Walaupun ganjarannya besar namun ramai enggan merebut peluang keemasan ini disebabkan jahil dan sayangkan harta dunia.
Bagi Mursyidah program Ustazah Pilihan terbitan Astro Oasis, Ustazah Zawiyah Hasan, amalan sedekah dapat menghindari pelbagai jenis penyakit.
Beliau yang juga mantan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, tubuh sihat membolehkan kita mencari rezeki halal bagi menyara keluarga dan membantu orang lain.
Tegasnya, jangan sekali-kali sedekah itu dari harta atau sumber haram seperti mana maksud hadis:
“Orang yang beri makan atau sedekah dengan satu suap daripada sumber haram maka Allah akan beri kepadanya besi yang dihancurkan daripada api neraka jahanam hingga cair seperti air.
“Apabila dimakannya putuslah isi perutnya. Masuk makanan itu daripada mulutnya, keluar daripada duburnya. Maka berserulah Malik Zabaniah: Inilah balasan orang yang berusaha mendapatkan rezeki yang haram dan memakan ia daripadanya dan bersedekah ia daripadanya.”
Zawiyah berkata, lebih afdal bersedekah daripada barang yang disayangi. Firman Allah: “Tidak kamu peroleh kebajikan sehingga kamu belanjakan sedekah, hadiah dari apa yang kamu sayangi.”
Sementara itu, Pengarah Tahfin Al-Quran Traning Centre, Ustaz Mohd Nasir Rustam, berkata amalan sedekah dapat menolak bala, seperti mana hadis bermaksud: “Sedekah itu menolak bala dan memanjangkan umur.”
Menurutnya, amalan sedekah mendapat lima kebaikan di dunia dan lima di akhirat.
Katanya, lima kebaikan di dunia ialah menyucikan hartanya, menyucikan badannya, menolak bala, menjauhi penyakit dan menggembirakan orang miskin.
Manakala lima kebaikan di akhirat ialah dinaungkan Allah di hari kiamat, ringan hisabnya, berat timbangan amalan di akhirat, mudah melalui titian siratul mustaqim, bertambah darjatnya di dalam syurga dan sedekah itu menutup tujuh puluh pintu kejahatan.
Bagi pendakwah bebas, Ustaz Ghazali Omar, sikap bakhil tidak mahu bersedekah akan menerima musibah.
Hadis menyatakan malaikat berseru yang bermaksud: “Tuhanku, segerakanlah gantikan harta orang yang bersedekah dan segeralah bala bagi orang yang enggan (bakhil) bersedekah hartanya.”
Katanya, selagi diberi umur panjang dan kesihatan yang baik, jangan tangguh bersedekah kerana amalan bersedekah dapat mencegah dari ajal yang buruk.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Muslim itu memanjangkan umur dan mencegah mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong, membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya.”
Bagi pengurus syarikat Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Anwar Datuk Hasan, sedekah terbahagi dua iaitu sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat.
“Sedekah sunat dipandang ringan walaupun ia memberi manfaat besar kerana dapat menyelesaikan beban penderitaan si penerimanya terutama orang fakir dan anak yatim,” ujarnya.
Katanya, tidak akan berkurangan harta orang yang bersedekah, sebaliknya Allah akan menambahkannya serta menghadiahkan balasan syurga.
Katanya lagi, amalan bersedekah bukan hanya pada harta dan wang ringgit sahaja, jika tidak berharta boleh berdoa untuk kebaikan orang lain.
Beliau memetik sebuah hadis bermaksud: “Bersedekahlah kamu walaupun dengan semangkuk air. Kalau tiada berkemampuan, bacalah satu ayat kitab Allah, kalau tidak tahu membacanya, maka berdoalah kamu kepada mereka dengan minta diampuni dan dirahmati Allah kepada mereka.” |
| Last Updated on Tuesday, 06 December 2011 11:25 |
AMALAN

