Dunia Artis

Politik

Hiburan

Sensasi

 
HIJABKU
Written by Mingguan Warta Perdana   
Friday, 08 June 2012 09:36

CANTIK! Tersembul kalimah indah dari mulut Hawa tatkala melihat perempuan memakai hijab. Hati kecilnya selalu memuji kecantikan wanita pakai hijab. Tambahan pula, trend berfesyen masa kini tidak menghalang wanita Muslimah berfesyen mengikut landasan Islam. 

 

Sungguh mulia agamaku mewajibkan setiap wanita Islam memakai hijab bagi melindungi kesucian dan maruah kaum wanita.  Aku? Bila aku ingin laksanakan tanggungjawab sebagai seorang Musli­mah? Sudah bersediakah aku berhijrah... berhijrah untuk menjadi insan dan hamba­Mu yang lebih baik? Aku tahu hijab wajib bagi setiap wanita Islam, namun...masanya akan tiba. Insya-Allah satu hari nanti.

 

Huhh...Hawa melepaskan keluhan. Dia merebahkan badan di atas katil empuk. Terik mentari yang singgah di mukanya menjadikan kulit Hawa kemerah-merahan. Hawa memejamkan mata seketika, tapi terjaga apabila pintu bilik diketuk.

 

 

“Masuk,” ujar Hawa.

 

“Cik, datuk dan datin pesan, mereka tidak pulang malam ini,” kata Surti, orang gaji Datuk Zulkifli dan Datin Salmah.

 

“Terima kasih Kak Surti.”

 

Tak pulang lagi? Hmmm...macamlah aku ini tidak wujud! Bentak hati kecil Hawa.

 

Datuk Zulkifli dan Datin Salmah selalu sibuk dengan urusan perniagaan sampai tidak ada masa untuk anak tunggal mereka. Masa mereka banyak dihabiskan untuk mengejar harta dunia tanpa memikirkan perhatian yang diperlukan oleh Hawa.

 

Rumah yang besar itu hanya dijadikan tempat persinggahan untuk tidur dan menukar pakaian.  Status sebagai datuk dan datin menjadikan mereka alpa sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan hamba kepada Penciptanya.

 

Hawa melelapkan mata kembali. Kata-kata Munirah pagi tadi masih jelas dalam fikirannya.

 

“Munirah, Hawa mesti nampak cantik­kan bila bertudung,” gurau Hawa sambil tersenyum, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

 

“Cantik Hawa…tapi lagi tambah cantik kalau niat Hawa pakai tudung itu ikhlas,” ujar Munirah, teman sepejabatnya.

 

Munirah berhijrah ke bandar untuk membantu keluarganya. Raut wajahnya bulat, bermata coklat hazel dan berlesung pipit, cukup menjadikan dia diminati kaum Adam di pejabat mereka bekerja. Walaupun datang dari kampung namun Munirah tidak pernah lupa pada jati diri. Hijab yang menutupi kepalanya tidak pernah dibuka dan dijadikan sungutan untuk berfesyen. Hawa sangat mengagumi Munirah.

 

“Maksud Munirah?” Hawa ingin tahu.

 

“Hawa, kita sering salah faham tujuan sebenar pakai hijab. Hijab bukan untuk jadikan kita nampak cantik, ayu dan sopan. Tapi hijab ini melindungi kesucian dan maruah kita sebagai wanita.” 

 

Hawa terang mendengar. Minatnya mula bercambah.

 

“Ingat Hawa, hijab bukan satu trend, tapi diwajibkan bagi semua kaum Hawa ciptaan Allah Yang Maha Besar,” terang Munirah panjang lebar.

 

“Hawa tahu Munirah, tapi pintu hati Hawa belum terbuka untuk pakai hijab, nak jadikan hijab sebahagian dari diri Hawa,” ujar Hawa dengan nada yang sedih.

“Insya-Allah Hawa, tiada apa yang dapat halang kehendak Allah. Ini dibuktikan dalam surah Yassin, ayat 82. Maksud ayat itu sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” Maka terjadilah ia.”

 

“Munirah yakin satu hari nanti Allah akan bukakan pintu hati Hawa pakai hijab,” kata Munirah dengan senyuman.

 

Hawa tersentak apabila telefon bimbitnya berbunyi. “Cik Hawa, jangan lupa malam ini, pukul lapan.”  Hawa tersenyum membaca mesej dari Munirah. Hawa melihat jam di dinding bilik.  Pukul tujuh? Huh…Dah lambat!.  Hawa meluru capai tuala dan ke bilik mandi.

 

Hmm...nak pakai baju apa ni, fikir Hawa. Ketika sibuk mencari, Hawa ternampak sepasang baju kurung biru laut pemberian Munirah ketika ulang tahun kelahirannya yang ke-25 tahun. Hawa terus ambil baju kurung itu dan memakainya.  Kulit mukanya yang putih dan raut wajahnya seperti bujur sirih menjadikan Hawa tampak ayu. Rambutnya yang panjang sehingga ke paras pinggang disisir rapi dan bibirnya dicalit sedikit lipstik berwarna merah, menyerlahkan lagi kecantikannya.

 

Hawa percepatkan langkah bertemu Munirah.

 

“Assalammualaikum, sorry lambat,” ujar Hawa ketika masuk ke kereta Munirah.

 

“Waalaikummussalam, Tuan Puteri Hawa. Takpe..kejap je.  Jom!” ajak Munirah sambil menekan pedal minyak kereta.

 

Selesai menjamu selera, Hawa dan Munirah duduk sebentar berbual. Pelbagai topik mereka bahaskan. Setelah seketika, Hawa bangun untuk membayar bil. Tiba-tiba Hawa dilanggar dari arah belakang.

 

“Maaf cik, saya tak sengaja,” ujar lelaki itu agak ketakutan.

 

“Tak pe…” balas Hawa berserta senyu­man.

 

“Hrmm…cik??” tanya lelaki itu.

 

“Saya Nur Hawa, boleh panggil saya Hawa,” jawab Hawa lembut.

 

“Saya Adam…” ujar lelaki itu sambil menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat.

 

“Ni kad saya, kalau Cik Hawa perlukan apa-apa pertolongan just call saya,” tambah Adam.

 

“Terima kasih Encik Adam.  Kalau tak ada apa-apa lagi Hawa mintak diri dulu ye.  Assalammualaikum,” kata Hawa. 

 

“Waalaikumussalam,” balas Adam dengan senyuman. Hawa menyusun langkah meninggalkan lelaki yang baru dikenalinya. Hawa meletakkan beg tangannya di atas meja solek lalu menyandarkan badan di sofa. Adam. Nama itu tiba-tiba muncul dalam ingatannya. Hawa tersenyum sendirian.

 

“Hawa...Nur Hawa…!” Adam berteriak. Hawa terus mematikan langkah sambil mencari-cari milik suara tersebut. Adam percepatkan langkahnya menghampiri Hawa. 

 

“Hawa…Assalamualaikum!” ucap Adam tercungap-cungap.

 

“Encik Adam? Hmmm… Waalai­kumussalam.  Encik Adam buat apa kat sini?” tanya Hawa.

 

“Tak payah berencik-encik dengan saya, just call me Adam. Takde…saya on the way nak pergi lunch. Tiba-tiba ternampak Hawa, Hawa nak ke mana?” tanya Adam.

 

“Oh…nak pergi lunch ni,” balas Hawa sambil merapikan rambutnya yang ditiup angin.

“Lunch? Ermm...kalau Hawa sudi boleh kita lunch sama,” pelawa Adam.

 

“Ermm…boleh juga.” 

 

Pertemuan yang tidak dirancang itu menjadikan hubungan Adam dan Hawa semakin rapat. Nilai-nilai Islam yang Adam terapkan dalam kehidupannya membuatkan Hawa amat mengaguminya. Lelaki tinggi lampai, berkulit kuning langsat dan memiliki tubuh sasa, cukup menjadikan Adam lelaki yang sempurna di mata semua wanita.  Hawa masih ingat  kata-kata Adam mengenai perkahwinan sehingga mem­buatkan Hawa terfikir seketika.

 

“Hawa…dalam melayari bahtera rumah tangga, pasangan harus punyai ilmu terutamanya suami.  Suami selaku nakhoda kapal harus bijak menentukan arah tuju kapal. Tidak perlu kekerasan dalam mendidik isteri, just perlukan sedikit nasihat, bimbingan dan masukkan sedikit unsur humor.  Kalau kita ingin ubah sesuatu, ubahlah dari dalamannya. Insya-Allah, luarannya akan terus berubah,” kata-kata Adam itu bagai memukau hati Hawa.

 

“Wanita ni special Hawa…Allah ciptakan wanita untuk jadi pelengkap hidup lelaki,” tambah Adam lagi.

 

“Adam… kalau Hawa.. emmm... kalau Hawa bertudung macam mana?” tanya Hawa spontan.

 

“Macam mana apa pula Hawa…macam itulah!” jawab Adam sambil ketawa.

 

“Alhamdulillah, kalau Hawa bertudung mesti tambah cantik..tapi lagi cantik di sisi Dia,” tambah Adam dengan senyuman.

 

Hampir lima minit Hawa menghadap cermin, hatinya berkecamuk memikirkan langkah yang diambilnya betul atau salah. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.  Bagaimana persepsi masyarakat terutama teman pejabat melihat perubahanku? Ya Allah, Engkau permudahkanlah langkah hamba-Mu dalam mencari keredaan-Mu.

 

“Hawa?” Adam seakan tidak percaya apa yang dilihatnya.

 

“Ya Adam, Hawa ni…takkan hantu pulak,” gurau Hawa sambil ketawa manja.

 

“Alhamdulillah...manisnya Hawa bertu­dung,” balas Adam melihat Hawa menge­nakan hijab.  Orang paling gembira melihat perubahan Hawa tentunya Munirah, sahabat Hawa di kala susah mahupun senang. Hanya kalimah syukur keluar dari mulut Munirah melihat perubahan Hawa.

 

Malam itu selepas solat Isyak Hawa merebahkan tubuhnya di atas katil.  Ingatannya tertumpu kepada mesej yang diterimanya petang tadi:

 

“Hawa...manisnya cinta kerana Allah. Adam akui perasaan cinta yang wujud pada Hawa atas kehendak-Nya. Izinkan Adam menjadi nakhoda kapal yang ditumpangi oleh Hawa. Izinkan Adam menjadi pelengkap hidup Hawa dalam mencari keredaan-Nya.  Izinkan Adam menyunting Hawa sebagai suri di dalam hidup Hawa.”

 

Hawa melepaskan keluhan sedalam-dalamnya. Sudah bersediakah aku menjadi isteri? Sudah bersediakah aku menjadi pendamping kepada suamiku di saat susah mahupun senang? Hmmm...semua aku serahkan kepadaMu Ya Rabbi. Yang telah mengurniakan perasaan cinta kepada Adam dan Hawa. Ya, malam ini aku akan berserah, memohon kepadaMu.  Semoga pilihanku ini yang terbaik. Ya..tidak lupa juga aku berdoa semoga Allah bukakan pintu hati kedua ibu bapaku berubah kepada jalan-Mu.

 

Mudah-mudahan permulaan hijrahku memakai hijab menjadi titik perubahan kepada hidupku. Amin!

 

Q: “Adam… kalau Hawa.. emmm... kalau Hawa bertudung macam mana?” tanya Hawa spontan.

“Macam mana apa pula Hawa…macam itulah!” jawab Adam sambil ketawa.

“Alhamdulillah, kalau Hawa bertudung mesti tambah cantik..tapi lagi cantik di sisi Dia,” tambah Adam dengan senyuman...

 

 

Karya:

SITI NORAIEN RAZALI

Batu Kikir, N. Sembilan.

 

 

 

 

Sajak

 

APAK BETAPA AKU

Ayahandaku Apak,

betapa aku alpa hidup kukelam

cuba merenung masa yang silam

di masa siangmu mahupun malam 

tidak jemu berjaga mencari ilham.

Ayahandaku Apak,

betapa aku kesal aku rugi 

sengaja aku tidak peduli

kuarif di kananku  bijak di kiri

mengapa tidak sajak puisi.

Ayahandaku Apak,

betapa aku malu tidak keruan

telah kujejak utara selatan

walau kulayar benua lautan

terindah madahmu seni berzaman. 

Ayahandaku Apak,

betapa aku sedih aku pilu

ku deklamasi  seni karyamu

kata mu sesuatu makna seribu

tajam lidahmu diasah ilmu.

Ayahandaku Apak,

betapa aku bertuah aku berbangga

engkau perwira lambang sastera

aku mengorak langkah pertama

tidakku renggang kertas dan pena

seruku pada Ina Angah dan Ida 

demi Apak ayuh kita berkarya. 

Al –fatihah Allahyarham Sasterawan Zahari Hasib

 

AMINUDDIN ZAHARI,

Subang Jaya, Selangor.

 

 

KESUCIAN HATI

 

Nyahlah kau kegusaran

ke makam taubat

segala dosa nan melanda

agar pulih terubat

hidup amat sementara

tentukan arah kiblat.

 

Nyahlah kau kefukuran

ke pusara minda

segala keliru nan ada

agar jitu makna

iman amat ceria

tentukan paksi mulia.

 

(Segala nan ghaib itu

sentiasa wujud dalam diri 

memagari kesucian hati)

 

iDANRADZi

Kajang, Selangor.

 

 

ANTARA KEJAYAAN DAN KEGAGALAN

 

Ingin kugapai segalanya,

menuju puncak  destinasi,

mencipta seribu impian,

melakarkan sejuta kejayaan,

akan kuharungi setiap detik,

tanpa kenal erti titik pehujungnnya,

walaupun kegagalan tetap menunggung,

namun kugagahi diri ditemani keberanian,

kerana kegagalan membawa aku terus hidup,

bukan untuk menemui ajal

bukan untuk menemui mati,

tapi untuk memegang cita-cita.

 

SITI NORSHIKIN MOHD KHALIDI

UPM Bandar Tenggara, Johor.

Last Updated on Friday, 08 June 2012 09:42
 

Add comment


Security code
Refresh


 

 

 

 

Madu Herba : Kelebihan Untuk Lelaki

Madu Herba : Kelebihan Untuk Lelaki, Menjana IQ, Merawat Fungsi Seks